SABAN tahun apabila menjelang bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah dilakukan.
Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada hari ke-10 dalam bulan Muharram?
Kelebihan 10 Muharram
Terdapat banyak kelebihan dan fadilat pada 10 Muharram berdasarkan nas dan hadis sahih.
Kata Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata: Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura. [HR Bukhari 2006]
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdal berbanding hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan.
Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdal berbanding puasa pada hari ‘Asyura.
Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]
Pada hari itu juga Nabi Musa AS diselamatkan manakala firaun dan pengikutnya ditenggelamkan. Dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura.
Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini.
Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran.
Kata Rasulullah: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut. [HR Bukhari 3397]
Kelebihan puasa pada 10 Muharram
Bagi mereka yang mencari keampunan Allah maka ganjaran yang dijanjikan ialah diampunkan dosa setahun yang lalu.
Dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda: Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ atau 10 Muharram merupakan sunnah Nabi.
Sama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharram tetapi dianjurkan juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis:
Maksudnya: Ketika Rasulullah berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat”. [HR Muslim 1916 ]
Cara berpuasa pada 10 Muharram
Disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharram seperti yang terdapat di dalam hadis. Kata Imam Syafie sunat juga berpuasa pada 9 Muharram kerana Baginda Rasulullah berniat untuk berpuasa pada tahun yang akan datang dengan berpuasa 9 dan 10 Muharram.
Dibenarkan berpuasa bagi mereka yang ingin puasa pada 10 Muharram sahaja. Yang paling baik adalah 9 dan 10 Muharram.
Ini kerana kata Imam Nawawi puasa pada 9 Muharram adalah untuk membezakan puasa orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Semoga ganjaran yang begitu besar disediakan Allah kepada kita untuk sama-sama kita rebut.
Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook