KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Bantuan Khas Penghargaan (BKP) kepada penjawat awam dan pesara kerajaan tahun 2023, akan dibayar pada 10 Ogos ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkongsi surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, bayaran sebanyak RM300 akan diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai dan lantikan kontrak.
“Penerima BKP turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM200.
“Bayaran BKP bagi penjawat awam ini layak diberikan kepada mereka yang masih berkhidmat pada 10 Ogos ini yang merupakan pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS) selain pegawai yang bercuti bergaji penuh, bercuti separuh gaji dan bercuti tanpa gaji,” katanya.
Bayaran itu juga layak diberikan kepada pegawai yang dipinjamkan, termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya dengan BKP ini dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai itu.
“BKP 2023 turut diberikan kepada pegawai lantikan MySTEP yang masih berkhidmat pada 10 Ogos dan telah dilantik sebelum 10 Ogos dengan syarat tempoh kontrak telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
Selain itu, guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya serta pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga layak menerima BKP 2023,” katanya.
Pada masa sama, surat edaran itu memaklumkan bayaran BKP bagi pesara kerajaan termasuk yang bersara selepas mencapai opsyen umur persaraan atau bersara atas sebab kesihatan, akan dilakukan oleh JPA manakala veteren berpencen dan tidak berpencen dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV). – nasionalkini.my