Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 22 Mei – Pengendali projek pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sungai Udang digesa mempercepatkan proses pembinaan loji tersebut yang sudah terlewat secepat mungkin.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kelewatan membina loji WTE yang menelan kos lebih RM700 juta itu telah menggugat keharmonian penduduk setempat dan berharap ianya dapat bermula tahun depan.
“Apa yang menjadi kegusaran orang Melaka ialah supaya dapat dipercepatkan segala proses bagi projek dapat berjalan segera (termasuk) dalam urusan rundingan harga dan juga terma-terma dan syarat.
“Lagi lambat proses berunding lagi lambat projek nak berjalan landfil (tapak pelupusan sampah) ini akan penuh bila akan penuh keharmonian masyarakat keliling ini mesti diambil kira,” katanya kepada media selepas meninjau Tapak Projek Loji WTE di Sungai Udang, di sini hari ini.
Tegasnya, pihak yang berkaitan perlu menyelesaikan proses rundingan komersial agar projek itu dapat dijalankan seawal tahun hadapan.
“Ini kerana, tapak berkenaan tidak lagi mampu lagi menampung timbunan sisa pepejal yang melebihi 1,100 tan setiap hari.
“Bau dan juga unggas-ungas yang berkeliaran ini menyebabkan rakyat hidup tak selesa jadi sekiranya lagi lambat nanti sampah tetap akan bertambah setiap hari,” katanya.
Kerajaan negeri, jelasnya, tiada menghadapi sebarang masalah apabila memberi kerjasama baik dalam aspek pengambilalihan tanah.
Ab Rauf berkata, pembinaan loji itu sekali gus akan menjadi projek penggunaan teknologi WTE yang pertama dari Jepun dalam mengurus dan mengendalikan sisa pepejal.
Jika beroperasi kelak, Loji Rawatan Sisa Pepejal WTE dijangka mampu memproses sehingga 800 tan metrik sampah sehari menggunakan teknologi Stoker Grate. – nasionalkini.my