in ,

Pengayuh beca didakwa bakar sofa, ugut bakar rumah takutkan isteri

WhatsApp Image 2023 06 08 at 3.22.01 PM
Tertuduh, Shah Rizal Ithnin, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan membakar sofa, memecahkan siling dan ugutan mahu membakar rumah untuk menakutkan isterinya, awal bulan ini.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 8 Jun – Seorang pengayuh beca dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan membakar sofa, memecahkan siling dan ugutan mahu membakar rumah untuk menakutkan isterinya, awal bulan ini.

Tertuduh, Shah Rizal Ithnin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan di hadapan Hakim Sabri Ismail dan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh telah melakukan khianat dengan api iaitu membakar sofa, rak pinggan dan barang dapur dengan maksud menyebabkan kerosakan terhadap isterinya, Sri Masturah Omar, 47.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi 3 Jun lalu di alamat KM10, Balik Bukit, Bukit Lintang dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengayuh beca turut didakwa dengan sengaja melakukan khianat terhadap mangsa sama dengan cara memecahkan siling dan tingkap di bahagian dapur dan bilik rumah di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Mazana, tertuduh berdepan pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan maksud hendak menakutkan dengan cara mahu menyimbah petrol untuk membakar rumah.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.20 petang 1 Jun lalu semasa di ruang tamu rumah beralamat KM10, Jalan Balik Bukit 2, Bukit Lintang dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan J Banusha tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kesalahan tidak boleh dijamin.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 10 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – nasionalkini.my

scam phone1 1665551071

Hasrat miliki kereta tidak kesampaian, ditipu penjual tidak wujud

WhatsApp Image 2023 06 08 at 3.03.35 PM

Remaja autisme cemerlang SPM, peroleh 8A 1B