Oleh Yusuf Shafie
JASIN, 12 Julai – Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menembak mati dan khianat terhadap lima ekor lembu yang menceroboh kebun sawitnya, April lalu.
Tertuduh, Midon Lambak, 79, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mohd Firdaus bagaimanapun menangguhkan hukuman kepada 17 Julai ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan barang kes.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu didakwa menembak lima ekor lembu menggunakan senjata shotgun 12 Bore jenis Baretta A303 sehingga mati.
Kesalahan mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960 itu dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi di kebun FELDA Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan, 15 April lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum satu tahun penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor lembu bernilai RM5,000 sehingga menyebabkannya mati pada masa, tempat dan tarikh sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali mengikut Seksyen 428 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan tiada pekerjaan, tinggal seorang diri dan sering diserang angin ahmar.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- nasionalkini.my