KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.
Sinar Harian melaporkan, Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas dasar itu, sebanyak 44 program pengajian dari sembilan institut pengajian tinggi awam (IPTA) telah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.
Menurut beliau, perkara tersebut mampu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung selain membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara.
“Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Tambah beliau, pengurangan tempoh pengajian itu tidak melibatkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada IPTS itu sendiri untuk melaksanakannya. – nasionalkini.my