KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima kes aduan melibatkan penjualan sijil Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, KPT sentiasa memandang serius sebarang isu yang melibatkan integriti dan pengiktirafan IPTS.
“Bagi kes penjualan sijil di IPTS, KPT bertindak berdasarkan aduan yang diterima terus oleh KPT atau melalui saluran aduan dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA).
“IPTS juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aduan berkaitan atau mengetahui kes penjualan sijil melibatkan institusinya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang ingin tahu kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian untuk mengawal dan membendung lambakan sijil-sijil akademik khususnya Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang didapati sangat mudah dibeli dari institusi pengajian tinggi swasta negara ini.
Menurut Mohammad Yusof, mereka yang dipercayai terlibat dalam kes penjualan sijil palsu boleh diambil berdasarkan Seksyen 76 dan Seksyen 77 Akta IPTS 1996 [Akta 555].
“Jika disabitkan kesalahan individu atau institusi yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit (RM 200,000) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya,”ujarnya. -nasionalkini.my