Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Objektif utama penganjuran Konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan berlangsung di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai ini adalah untuk mengumpul dana bagi Rumah Damai iaitu pusat pemulihan baharu milik Persatuan Pengasih Malaysia.
Selain itu, idea untuk mengadakan konsert tersebut dicetuskan pihak pengurusan Pengasih juga bertujuan untuk mempromosikan Pengasih Cawangan Pahang.
Konsert kendalian Pengasih Asia Sdn Bhd bakal bermula pada jam 8.30 malam hingga 11 malam itu menampilkan barisan artis hebat seperti kumpulan Iklim, Ameng Spring, Zamani Slam dan Amir Ukays.
Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun berkata, nama Kasih menjadi pilihan kerana Pengasih menggunakan pendekatan ‘Kasih’ kepada klien mereka.
“Perkataan kasih yang digunakan adalah bersesuaian dengan budaya dalam komuniti Pengasih yang mengamalkan konsep kasih sayang serta bertanggungjawab dalam membantu orang lain dan membantu diri.
“Objektif konsert ini diadakan adalah bertujuan mencari dana bagi membiayai peralatan dapur, landskap dan kelengkapan rehabs baharu kami iaitu Rumah Damai yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.
“Konsert ini juga dianggap sebagai ‘kick starter’ bagi perniagaan sosial Enterprise kami (Pengasih Asia Sdn Bhd) milik Persatuan Pengasih Malaysia,” katanya.
Selain itu, konsert ini diadakan di Kuantan bagi mempromosikan Kompleks Pengasih Cinta Manis di Bentong, Pahang.
Pemilihan auditorium RTM Kuantan, Pahang dibuat bagi mempromosikan Pengasih Cawangan Pahang yang akan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan pencegahan khususnya untuk masyarakat setempat.
“Kapasiti Audittorium RTM Kuantan, boleh muat kira-kira 800 penonton.
“Kita bukan sekadar mengharap jualan tiket untuk kumpul dana tapi juga dengan tajaan,” katanya lagi.
“Sementara itu, pemilihan artis dilakukan pihak pengurusan Pengasih sebab sejarah yang kami kongsi bersama dengan artis ini, orang-orang lama dengan Pengasih.
“Mereka adalah sahabat Pengasih, sama ada kami kenal secara langsung ataupun tidak, tapi semua pernah terlibat dengan Pengasih sepanjang kewujudan kita, “ katanya.
Dalam masa sama, kata Hafizi, Pengasih mahu membantu rakan artis terutama Iklim yang kurang menerima undangan persembahan selain mengekalkan hubungan akrab mereka dengan Zamani dan Ameng.
“Hubungan kami sememangnya rapat, jadi kami lebih suka mengamalkan konsep menang-menang kerjasama dengan mereka.
“Durasi konsert ini ialah dua jam setengah dan barisan artis terbabit akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular mereka buat peminat,” katanya.
Konsert Kasih Pengasih 2023 turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, RTM Pahang, Pengasih Cawangan Pahang dan Restoren Baina Nasi Kerabu.
Harga tiket untuk menyaksikan Konsert Kasih Pengasih 2023 bermula dari RM58 sehingga RM3,500. Tiket-tiket boleh didapati menerusi https://ilassotickets.com/. -nasionalkini.my