KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kerajaan bersedia memberi sebarang bantuan diperlukan bagi membawa jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, yang meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest untuk dibawa pulang ke tanah air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, bantuan itu juga termasuk memenuhi hasrat keluarganya supaya jenazahnya dikebumikan di tempat asalnya, Benoni di Sabah.
“Di JPM, kita tahu Allahyarham seorang individu yang amat komited dengan aktiviti. Hasrat Allahyarham untuk menakluki Gunung Everest sejak sekian lama.

Sebelum berangkat tahun lalu (pendakian Gunung Everest pertama), Allahyarham sempat bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan tahun ini sebelum berangkat ke Nepal, kumpulan mereka bertemu dengan Perdana Menteri.
“Setakat ini kita difahamkan urusan untuk membawa turun jenazah dari puncak Gunung Everest mengambil masa lebih kurang tiga hari,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menerusi kedutaan Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa di Nepal bagi urusan menurunkan jenazah Allahyarham.
“Insya Allah, sebaik jenazah diturunkan kita akan bantu untuk memenuhi hasrat daripada keluarga Allahyarham supaya jenazahnya dapat dikebumikan di kampungnya di Benoni,” katanya.
Terdahulu Awang Akandar yang menyertai misi kali kedua dilaporkan terjatuh ketika pendakian bersama seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim.
Namun, sempat dibawa ke Kem 4 dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan namun disahkan meninggal dunia pagi semalam.
Kematian Awang merupakan individu ke sembilan melibatkan bukan warga tempatan Nepal bagi musim pendakian tahun ini. – nasionalkini.my