KUALA LUMPUR, 5 Julai – Jenazah mangsa kelapan tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, telah dihantar pulang ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan pada jam 8.10 malam ini.
Van jenazah membawa mangsa remaja perempuan itu meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dengan diiringi sebuah kereta peronda polis.
Ibu saudara mangsa, Rosilawati Kassim, 49, berkata, jenazah Allahyarham Putri Alleya Maisarah akan dikebumikan berdekatan pusara ibu bapa serta lima adik beradiknya yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.
Kita jangka semua urusan pengebumian diselesaikan pada malam ini,” katanya seperti dilapor media tempatan, malam ini.
Allahyarham Putri Alleya Maisarah ditemukan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat iaitu kira-kira jam 3 petang semalam.
Sehingga ini, dua lagi mangsa belum ditemukan iaitu Putri Nor Fatin, 14 dan Muhammad Fikri Saliman berusia 24 tahun.
Semalam, tujuh jenazah dan adik beradiknya yang lain selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3.
Pengebumian jenazah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selesai pada 11.52 malam.