Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meminta masa tambahan untuk membuat keputusan menyertai BERSATU yang dibuat presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan lalu.
Bekas menteri kesihatan itu berkata, beliau telah bertemu dengan pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit pada Isnin lalu untuk membincangkan secara lanjut berhubung tawarannya.
“Saya telah jumpa dan memberi pandangan saya…beliau minta saya fikir lagilah.
“Saya telah setuju untuk fikir lagi dan minta beliau sedikit masa,” katanya pada podcast Keluar Sekejap hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Muhyiddin menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU kerana percaya Khairy mampu memberi sumbangan kepada parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan sewaktu pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Khairy turut mendakwa wujud fitnah dilemparkan laskar siber Pakatan Harapan (PH) yang mendakwanya mahu diberi jawatan timbalan presiden Bersatu dan dijadikan calon PN di DUN Kota Damansara.
“Saya rasa ini tak beretika dalam politik dan salah satu sebab saya sendiri tak berapa senang dengan PH, sebahagian besar rakyat pun tak senang perangai cybertrooper ini,” katanya. – nasionalkini.my