KLANG, 20 Ogos – Lebih 25 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kira-kira jam 8.50 pagi ini.
Pasukan URB itu akan mengiringi setiap kenderaan membawa sembilan jenazah mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu ke destinasi pengebumian masing-masing, lapor BH.
Sebelum dibawa pulang, semua jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah untuk diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tujuan solat jenazah.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kesemua sembilan mangsa nahas akan diserahkan kepada waris, mulai 9 pagi ini.
Menurutnya, proses mengenal pasti mayat semua mangsa terbabit sudah selesai semalam.- nasionalkini.my