in

Imej Amelia Henderson tercalar

Amelia Henderson

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Belum pernah model dan pelakon kacukan India-Scotland, Amelia Henderson buat ‘onar’ selama bergelar anak seni.

Amelia, 28, boleh dianggap antara selebriti bersih daripada dipalit kontroversi, selama ini.

Jauh di sudut hati, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson tidak terlintas terpalit dengan kontroversi yang mengheretnya ke muka pengadilan.

Sudah tentu reputasi bersih selama ini tercalar bila dilabelkan degil dan sombong hanya kerana ingin mempertahankan hak.

“Bohonglah jika tak terkesan bila dilabelkan degil dan sombong.

“Tiada manusia dalam dunia ini rela bila dicemuh melulu, tetapi saya bersyukur keluarga dan rakan baik lebih mengenali saya.

“Jika bercakap dari sudut profesional, saya tak terkesan bila dianggap degil dan sombong. Ini kerana orang sekeliling kenal saya.

“Namun, saya terasa bila membaca komen netizen. Rasa sakit pasti ada, saya juga bimbang persepsi ini melambangkan ‘refleksi’ diri saya,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang melangkah ke dunia seni sebagai model jenama barangan kanak-kanak terkemuka seawal usia 10 bulan itu berkata, andai benar dirinya bermasalah, sombong, pentingkan diri dan tidak kisah perasaan orang, mungkin kelibatnya sudah tidak kelihatan dalam dunia lakonan.

“Mana mungkin saya bertahan selama 27 tahun jika tidak memiliki reputasi baik. Saya masih lagi bertahan hingga hari ini.

“Saya yakin ini disebabkan saya bina reputasi baik dengan penggiat seni.

“Saya berterima kasih kepada produksi yang sudi dan masih beri kepercayaan walaupun saya berperang dalam keadaan ini,” katanya.

Amelia Henderson

Ujar Amelia, tindakan diambil juga bukan dilakukan mengikut perasaan, namun mendapat nasihat daripada mereka yang pakar.

“Langkah saya mempertahankan nama dan kerjaya tidak dilakukan ikut kehendak hati. Tiba-tiba bangun tidur rasa nak ambil tindakan, bukan begitu.

“Semuanya dibuat atas pertimbangan. Saya tak pernah turun naik mahkamah dan saya juga tidak faham mengenai prosedur mahkamah.

“Jadi, saya mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang perundangan untuk dapatkan keputusan betul.

“Sepanjang bergelar pelakon, saya tak pernah ada masalah dengan sesiapa. Jika saya rasa tidak boleh melakonkan watak dengan baik, buat apa saya hendak sabotaj diri sendiri.

“Bukan sahaja reputasi tercalar, malah menimbulkan masalah kepada orang lain dan produksi.

“Jadi, itu adalah proses yang saya utamakan dalam setiap tawaran diterima, adakah mampu atau tidak bawa watak diberikan,” katanya.

April lalu, Amelia diperintahkan membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit, Datuk A Aida apabila didakwa melanggar kontrak penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Saya percaya rezeki datang dari Tuhan, bukannya tangan manusia.

“Selagi menjadi manusia baik dan ikhlas, saya yakin pengakhiran juga baik,” katanya.- nasionalkini.my

Pasukan URB iring kenderaan jenazah tragedi Elmina

Sebak kutip cebisan mayat mangsa Elmina