MACHANG, 2 Mei – Nenek dan cucu perempuannya maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini, awal pagi tadi.
Ketika nahas kira-kira jam 5.10 pagi, mangsa Nurin Damia Mohd Nizam, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah, manakala Che Hasnah Jusoh, 67, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Machang.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu Muhammad Asyraf Abdul Manap, 26, iaitu anak kepada warga emas yang maut itu dipercayai terbabas sendiri.
Katanya, hasil siasatan, pemandu kereta berkenaan bersama dua penumpang dari arah Kuala Lumpur dan hendak balik ke rumah mereka di Kampung Bunut Tok Mak Teh Labok, Machang.
“Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu lelaki berkenaan terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang di bahu kiri jalan. Akibat rempuhan, kereta yang dinaiki remuk dan kedua-dua penumpang berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Adli berkata, anak saudara kepada pemandu di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan serius pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, pada jam 8.30 pagi tadi pihak kami menerima panggilan daripada Hospital Machang yang memaklumkan penumpang kedua pula iaitu ibu kepada penumpang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Pemandu kereta yang mengalami kecederaan sedang dirawat di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya. – nasionalkini.my