Oleh Yusuf Shafie
MELAKA 2 Mei – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan agensi kerjasamanya sedang mencari mekanisme terbaik bagi memastikan semua monumen bersejarah di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak dicemari perbuatan vandalisme.
Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab. Aziz berkata, kerjasama dengan rakan strategiknya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Warisan Negara termasuklah bagi menambah bilangan penguat kuasa untuk meningkatkan pemantauan bagi mencegah perbuatan menconteng dinding bangunan bersejarah.
“Saya lihat, contohnya perbuatan vandalisme di Gereja St Paul, Bukit St Paul atau Bukit Melaka ini walaupun tidaklah besar tapi kita memandang serius kerana ia merosakkan monumen sejarah berusia lebih 500 tahun.
“Jadi Insya-Allah PERZIM akan buat pemantauan bersama MBMB dan juga Jabatan Warisan Negara untuk memperketatkan lagi kawalan keselamatan supaya vandalisme yang berlaku di sini dapat segera dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di bangunan tinggalan Portugis sejak 1520 di Bukit St Paul, yang kini dikenali Bukit Melaka.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar PERZIM Fadhilah Md. Saleh.
Semalam, media melaporkan kegiatan vandalisme di bangunan berusia 500 tahun peninggalan penjajah Portugis yang mendapat pelbagai reaksi kesal pelancong dan peniaga di kawasan bersejarah itu.
Ditanya adakah PERZIM akan memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan perbuatan merosakkan harta benda awam itu, Akramuddin, beliau melihat cara berkenaan kurang praktikal.
“Ini kerana kaedah itu memerlukan petugas untuk memantau selama 24 jam sehari supaya kita dapat terus menangkap mereka yang melakukan vandalisme.
“Langkah lain yang lebih sesuai adalah dengan menggiatkan kempen ‘Katakan Tidak Kepada Vandalisme’ supaya orang ramai lebih cakna mengenai kesalahan vandalisme di bawah Seksyen 112 (2) Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya.
Tambahnya, sabit kesalahan di bawah seksyen itu pesalah boleh dipenjara selama lima tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – nasionalkini.my