in ,

Pilu seorang bapa, hilang tiga anak serentak

IMG 20230609 WA0039
Ketiga-tiga mangsa kemalangan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi

Oleh AD Zafir

ROMPIN, 9 Jun – Pilunya hati seorang bapa apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan tiga anak kesayangan serentak dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu, dekat Kampung Sepakat, di sini semalam

Kejadian jam 7.35 malam itu menyebabkan tiga anaknya Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Abu Bakar Ibrahim, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di Terengganu atas urusan kerja dan berita menyedihkan itu dimaklumkan oleh isterinya Norezah Rejab, 51.

“Mula-mula isteri saya menelefon memaklumkan tentang kejadian tersebut dan memberitahu Muhammad Solihin telah meninggal dunia akibat kemalangan itu.

“Kemudiannya, dia menelefon lagi memaklumkan Muhammad Firdaus pula meninggal dunia.

IMG 20230609 185939 416
Tiga beradik maut dalam kemalangan membabitkan lori dan kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan/Johor Bahru berhampiran Kampung Sepakat, Rompin

“Selepas itu, isteri saya membuat sekali lagi panggilan memberitahu anak keempat kami, Ahmad Jazuly pula meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam, di sini, hari ini.

Tiga beradik itu maut selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kren.

Bercerita lanjut, Abu Bakar berkata, sebelum kejadian, anak ketiganya (Muhammad Solihin) ada menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp.

Katanya, anaknya memohon agar mendoakan kejayaannya yang akan menduduki peperiksaan di Politeknik Muadzam Shah, di sini.

“Selepas itu, dia juga ada mengucapkan terima kasih kepada saya kerana selalu mendoakannya dan berasa sangat lega.

“Saya langsung tidak menyangka mesej yang dikirimkan itu antara petanda kehilangan dia dan dua lagi adik-beradiknya. Namun saya reda dengan ujian Allah SWT dan ketentuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, adik bongsu kepada ketiga-tiga mangsa itu, Nur Faqihah, 16, berkata, mereka sekeluarga telah merancang membuat kejutan bagi sambutan hari jadi Ahmad Jazuly yang merupakan anak keempat.

“Kami sememangnya sudah merancang untuk menyambutnya pada sebelah malam.
Semalam abang dan kakak balik dan pada tengah hari emak masak kari yang merupakan masakan kegemaran abang.

“Namun sebelum kejadian, abang, emak dan kakak telah pergi ke Setajam bagi membantu emak mengusahakan sawah manakala saya berada di rumah,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa kemalangan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 09 at 5.33.54 PM

Geng Faiz Tanah Merah didakwa curi motosikal

Restu ibu resepi utama cemerlang SPM