SHAH ALAM, 2 Mei – Polis menahan enam individu termasuk dua wanita selepas disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang ahli perniagaan di Kajang.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ahli perniagaan berkenaan ditemukan dengan keadaan tangan terikat dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter di Hulu Langat, Khamis lalu.
“Tiga lelaki dan dua wanita tempatan itu ditahan di sekitar Kajang dan Ampang pada 27 April lalu. Seorang daripada suspek yang juga seorang kontraktor berusia lewat 30-an mengaku membunuh ahli perniagaan dan mayat tersebut disumbat dalam bagasi sebelum dibuang di cerun bukit di Hulu Langat,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas lima telefon bimbit termasuk satu daripadanya milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik salah seorang suspek.
“Motif kejadian adalah bagi mendapatkan harta milik mangsa. Ini kerana suspek ada masalah kewangan bagi membiayai peguam bagi kes berkaitan dadahnya sebelum mendapat idea bagi menculik, memeras dan membunuh rakannya itu,” katanya.
Hussein berkata, mangsa adalah seorang yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) berkaitan perkhidmatan kesihatan dengan memiliki aplikasi pengurusan kesihatan. – nasionalkini.my