Oleh Adam Aariz
PUTRAJAYA, 5 Julai: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan menyerahkan nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenal pasti menuntut bayaran untuk mengeluarkan dokumen tertentu, termasuk kad pengenalan.
Beliau memaklumkan sudah menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini dan akan menyerahkan nama pegawai tersebut bagi siasatan lanjut.
“Ada nama kita (dah) kenal pasti dan akan serah pada Azam untuk siasatan. Ini untuk membuktikan perkhidmatan di JPN penting sesuai dengan keperluan rakyat dan tidak membawa apa-apa bayaran,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beberapa kakitangan JPN sedang disiasat selepas mereka didakwa menuntut bayaran untuk mengeluarkan dokumen tertentu.
Saifuddin meminta mana-mana orang awam membuat aduan kepada SPRM sekiranya mana-mana pegawai dikesan meminta sebarang bayaran bagi urusan di JPN.
“Kita kenal nama pegawai didakwa terlibat sebab pihak yang diminta duit itu menghubungi kita memaklumkan nama (pegawai) tersebut yang minta sejumlah wang. Kita periksa wujud nama itu. Sebab itu kita serah nama pada Azam selepas perdana menteri membangkitkan perkara itu,” katanya. – nasionalkini.my