KUALA LUMPUR, 12 Julai – Seorang bekas pegawai khas menteri pada 2019, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu, Jun lalu.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, semalam.
Difahamkan, suspek meminta wang berkenaan sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.
Sumber berkata, suspek dikatakan meminta rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan bagi anak kandungnya.
“Jun lalu, suspek menghubungi individu terbabit yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.
“Suspek memaklumkan surat kelulusan permohonan taraf warganegara sudah ada padanya dan meminta individu itu membayar RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan itu,” kata sumber kepada BH, hari ini.
Difahamkan, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta SPRM menyiasat lanjut kegiatan rasuah dalam kalangan segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.
Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN