KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Penyanyi Datuk Zainal Abidin bakal berpadu suara dengan dua penyanyi antarabangsa iaitu anggota kumpulan All-4-One, Jamie Jones dan penyanyi serta komposer terkenal dari India Selatan, Yuvan Shankar Raj.
Zainal atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamed, 64, menyifatkan kolaborasi itu sebagai rezeki tidak disangka-sangka dan pencapaian membanggakan sempena ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam dunia seni.
“Menerusi duet bersama Jamie, kami akan menyanyikan dua lagu berjudul Tiba Masa dan It’s My Turn.
“Lagu Tiba Masa juga adalah single terbaharu saya yang akan dilancarkan pada 4 September depan.
“Ia dicipta oleh Michael Veerapen dan lirik oleh Mukhlis Nor.
“Untuk versi duet, ada bahagian yang Jamie akan sampaikan dalam bahasa Inggeris, manakala bahagian saya pula kekal dalam bahasa Melayu.
“Bersama Yuvan, kami akan menyanyikan lagu berjudul Manusia ciptaan Rabbit Mac.
“Menariknya, saya juga akan menyanyi dalam bahasa Tamil,” kata Zainal ketika ditemui BH pada sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.
Kehadiran Zainal untuk mempromosikan Konsert Zainal Abidin Tiba Masa Live Concert 2023 yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 29 dan 30 September depan.
Dipersembahkan oleh BSync Live dan X-FWD Management, tiket konsert itu yang berharga RM169 hingga RM865 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my.- nasionalkini.my