Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 19 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membantu seorang penunggang motosikal yang mengalami kemalangan di Jalan Danga Bay di sini semasa dalam perjalanan ke pejabat selepas selesai melakukan tinjauan jalan di Senai dan Skudai.
Dalam kejadian pukul 8.49 pagi itu, Onn Hafiz bersama-sama membantu petugas kesihatan dan anggota bomba dan penyelamat dalam insiden berhampiran Country Garden itu.
Selepas memastikam mangsa diberikan rawatan awal, Onn Hafiz meneruskan perjalanan ke pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Johar berkata, pihak menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 8.49 pagi.
“Seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan seorang lelaki yang cedera selepas motosikal jenis Honda 150R yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan di sini.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari bawah kereta sebelum menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan susulan. – nasionalkini.my