KOTA BHARU, 14 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju memberikan biasiswa pengajian kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi, 18, yang menjaga ibu sakit sehingga meninggal dunia.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam satu hantaran di Facebook beliau berkata, biasiswa berkenaan diberikan menerusi Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) bagi meneruskan pengajian dalam dan luar negeri kepada Mohd Syahril.
“Mohd Syahril merupakan pelajar soleh yang berbakti kepada orang tua disamping gigih dalam menuntut kecemerlangan ilmu. Semoga menjadi contoh kepada yang lain dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT,” katanya.
Datuk Ahmad Yakob
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Syahril yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meskipun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa.
Kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanannya menjaga dan menyantuni ibu yang sakit turut berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
Bagaimanapun, ibu kepada pelajar berkenaan meninggal dunia pada Sabtu selepas menderita penyakit saraf. – nasionalkini.my