LOS ANGELES, 9 Ogos – Dua kumpulan perdagangan di Amerika Syarikat menyatakan sokongan mereka terhadap TikTok dan penciptanya dalam tindakan undang-undang difailkan untuk menghalang negeri Montana mengharamkan platform media sosial popular itu, lapor Xinhua.
Persatuan perdagangan nasional, NetChoice dan gabungan industri teknologi, Chamber of Progress memohon untuk menjadi ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah untuk menyokong TikTok lewat Isnin, menurut satu kenyataan oleh NetChoice pada Selasa.
“Usaha Montana mengharamkan TikTok secara ironinya adalah jenis tingkah laku autoritarian yang dikatakan akan ditentang oleh negeri itu,” kata pengarah bersekutu litigasi NetChoice, Nicole Saad Bembridge, dalam kenyataan itu.
“Akses rakyat Amerika kepada maklumat di internet tidak boleh bergantung kepada pilihan individu ahli politik tempatan.
“Mahkamah sepatutnya menghalang larangan TikTok untuk memastikan internet kekal terbuka dan bebas,” kata Bembridge.
Pada 17 Mei, Gabenor Montana Greg Gianforte melarang sepenuhnya penggunaan aplikasi itu atas risiko ‘keselamatan negara’, menjadikan Montana negeri pertama AS mengharamkan TikTok dan melarang kedai aplikasi mudah alih daripada menawarkan TikTok di negeri itu.
Larangan itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.- nasionalkini.my