in

ACIGOLD perkenal aplikasi ACI CHAT

Pengasas dan Pengerusi ACIGOLD, Datuk Sheikh Jamal

KLANG, 9 Ogos – AIternate Commodities IndexWorldwide (ACIGOLD), syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dan Dubai, membuka ibu pejabatnya di Malaysia dalam usaha memperkenalkan aplikasi audio video dikenali ACI CHAT.

Pengasas dan Pengerusi ACIGOLD, Datuk Sheikh Jamal berkata, platform inovatif itu diusahakan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan Blockchain Sabah yang kini tersedia dalam versi Android dan iOS.

Beliau berkata, aplikasi itu bagi membolehkan pengguna bukan sahaja berhubung dengan keluarga dan rakan, tetapi juga memberikan peluang unik untuk menjana pendapatan sambil menikmati perbualan dalam aplikasi itu.

“Aplikasi ini bukan pesaing kepada WhatsApp atau platform beli-belah seperti Shopee atau Lazada.

“Ini kerana platform kita tawarkan lebih komprehensif yang membolehkan individu bukan sahaja berhubung dengan orang tersayang tetapi juga meneroka dunia perniagaan,” katanya pada sidang media pelancaran platform itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, aplikasi beli-belah dalam talian dikenali ACI STORE akan dilancarkan secara rasmi dan tersedia di platform Android dan iOS November ini.

Sheikh berkata, selain ACI CHAT, ACIGOLD juga menawarkan ekosistem pelbagai fungsi iaitu aplikasi mesyuarat secara langsung dalam talian dikenali ACI LIVE.

Menurutnya, aplikasi mesyuarat itu membolehkan pengguna menjalankan mesyuarat, seminar dan persidangan dengan rakan sekerja dan pelanggan dari seluruh dunia, sekaligus mengurangkan kos perjalanan.

Katanya, platform berkenaan menggunakan teknologi blockchain Web3 bagi memastikan semua interaksi dan transaksi dalam aplikasi ACIGOLD adalah selamat dan telus.

“Dengan menggunakan pemusatan rangkaian itu, ACIGOLD telah menghapuskan keperluan untuk pengantara, membolehkan ekosistem yang lebih cekap dan kos efektif untuk penggunanya di seluruh dunia,” katanya. – nasionalkini.my

RM280,000 untuk baik pulih SMA Padang Tengku

Keputusan PRN lebih awal Sabtu ini