JOHOR BAHRU, 2 Jun – Kenderaan dari Singapura yang memotong barisan untuk memasuki negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dikenakan tindakan saman selain turut diarahkan berpatah balik.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kelancaran trafik di BSI dan KSAB susulan peningkatan kemasukan pengembara dan kenderaan ke Malaysia sempena cuti hujung minggu serta Hari Wesak di Singapura.
“Pada hari ini, telah berlaku kesesakan di pintu masuk utama dari Singapura iaitu di BSI dan KSAB. Polis Johor telah mengambil langkah proaktif dengan mengatur gerak penugasan bagi memastikan kelancaran trafik.
“Selain itu, penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas terutama yang memotong barisan akan dikenakan saman dan diarahkan berpatah balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman menasihatkan warga asing yang memasuki negara ini mematuhi undang-undang lalu lintas, berhemah ketika memandu, kawal emosi dan sentiasa bersabar. – nasionalkini.my