Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 2 Jun – Polis Kontinjen Melaka berjaya menumpaskan sindiket penipuan atas talian membabitkan kerugian lebih RM60,000 apabila berjaya menahan 11 pekerja sindiket berkenaan di sebuah rumah di sini semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, serbuan pukul 10.40 pagi di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana itu mendapati, premis dua tingkat itu dijadikan pusat operasi panggilan sindiket penipuan berkenaan.
Menurutnya, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Supari Muhammad kemudian berjaya menahan lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 23 tahun di ruang tamu dan bilik-bilik berasingan.
“Hasil soal siasat, semua mereka mengaku telah menyewa di rumah terbabit hampir sebulan lalu untuk menjalankan kegiatan penipuan atas talian.
“Semakan lanjut mendapat, kumpulan ini ini aktif sejak setahun yang lalu namun baharu sahaja menyewa di premis itu pada kadar sewaan RM4,000 sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, serbuan itu turut merampas 31 telefon bimbit, sembilan kad bank dan satu buku nota yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat di Kompleks Mahkamah Melaka pagi tadi yang membenarkan mereka direman selama empat hari sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Dengan tangkapan ini, kita percaya ia dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 laporan polis yang dibuat mangsa dari seluruh negara melibatkan kerugian berjumlah RM65,094.74 ,” katanya.
Tambahnya, 12 laporan diterima daripada sindiket ini adalah masing-masing dua laporan di Kedah, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak manakala satu kes di Perak dan Perlis. – nasionalkini.my