in

Beku daging korban untuk 5,500 asnaf sehingga Oktober

IMG 20230701 WA0013
Petugas sedang menyiapkan pek daging korban untuk dibekukan dan diagihkan kepada 5,500 asnaf sekitar Melaka sehingga Oktober ini pada Karnival Melaka Qorban House 1444H /2023 di Taman Seri Pandan, Kesidang, Melaka hari ini yang turut mendapat kerjasama daripada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA).

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 1 Julai – Bagi memastikan pengagihan daging korban dapat dinikmati lebih ramai oleh golongan asnaf, sebuah koperasi surau di sini memilih untuk membekukan daging sembelihan itu agar dapat diagihkan sehingga Oktober ini.

Pengerusi Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad, Mohd Khairul Zaki Misbah berkata, kaedah itu dilakukan selepas mendapati terlalu banyak golongan sasar menerima daging korban pada Hari Raya Aidiladha sejak Khamis lalu.

Menurutnya, program ibadah korban tahun ini juga mencipta rekod korban terbesar di Melaka tahun ini melibatkan 58 ekor ternakan iaitu 52 ekor lembu dan enam ekor kambing bermula pukul 12 tengah malam tadi.

“Disebabkan jumlah korban yang tinggi dan mendapati ramai asnaf sudah menerima terlalu banyak daging korban, kita memilih untuk membekukan sebahagian daripada 5,500 pek daging dan disimpan di dalam peti sejuk beku koperasi.

“Ini secara tidak langsung membolehkan kita memastikan kumpulan sasar ini dapat menikmati daging korban selepas bulan Zulhijjah iaitu sehingga Muharram, Safar dan Rabi’ul Awal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Karnival Melaka Qorban House 1444H /2023 yang diadakan di Taman Seri Pandan, Kesidang, di sini itu turut mendapat kerjasama daripada
Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) yang dihadiri Timbalan Pengerusinya, Nazri Abu Bakar.

Mengulas lanjut Mohd Khairul berkata, karnival itu turut dimeriahkan dengan karnival bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha yang sering hanya dihayati sebagai ibadah korban.

“Sebab itu karnival hari ini kita adakan pertandingan kuiz dan persembahan Qasidah supaya Aidiladha ini tidak hanya dimeriahkan dengan ibadah sembelihan ternakan.

“Contohnya, sebagai galakan untuk mendapat lebih ramai penyertaan korban tahun hadapan, ibadah tahun ini juga merekodkan pencapaian tersendiri apabila berjaya menumbangkan seekor lembu seberat 730 kilogram,” – nasionalkini.my.

IMG 20230701 WA0012

Bapa, anak, cucu cipta kelainan

pertahan

Kecoh di KLIA: Semua menteri ada pas khas