Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 27 Jun – “Kami mula berpindah ke kawasan ini yang dahulunya kawasan paya bagi mengimbangi jumlah penduduk Melayu di kawasan Johor Bahru.
“Setelah ia dibangunkan menjadi kawasan penempatan, kami diarahkan berpindah,” demikian luah wakil penduduk Kampung Datuk Hajah Hasnah, Rahmad Dahman, 70.
Beliau bersama 100 keluarga di kampung itu kini buntu hendak tinggal mana selepas ini selepas menerima notis pencerobohan tanah kerajaan dan diarahkan mengosongkan kawasan tersebut.
Pihaknya menerima notis itu pada 15 Mac lalu dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah itu selain diarahkan membuka sendiri struktur binaan, bangunan rumah dan garaj dalam tempoh tersebut.
Rahmad berkata, pada 2015, ada sebahagian daripada penduduk di sini bersetuju untuk berpindah ke Pangsapuri Desa Hajah Hasnah, namun ada juga enggan berpindah.
“Pada ketika itu, kira-kira 100 keluarga yang mahu kekal di sini dan perbincangan telah dibuat dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian sehinggalah kami menerima notis tersebut pada Mac lalu,” katanya.
Menurutnya, dia bersama-sama jawatankuasa bertindak kampung itu berhajat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun menemui jalan buntu.
Malah, katanya, cubaan untuk berunding dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian juga tidak membuahkan hasil dan harapan terakhir mereka ialah untuk mengadap Sultan Johor bagi meluahkan rintihan dan nasib mereka.
“Kami bukan hendak melawan kerajaan, jika benar tanah ini mahu diambil semula, kami akan akur cuma kami mahukan sedikit pembelaan dengan menawarkan penempatan yang selesa dan pampasan,” katanya. – nasionalkini.my