KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sebanyak tiga klinik di Kuala Terengganu yang terkesan akibat banjir yang melanda negeri tersebut hujung tahun lalu akan menerima peruntukan khas bagi membaik pulih fasiliti kesihatan berkenaan.
Klinik berkenaan terdiri daripada Klinik Desa Gong Tanah Merah, Klinik Desa Alor Lintah dan Klinik Desa Alor Keladi yang akan menerima peruntukan RM500,000.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, peruntukan berkenaan merupakan lima inisiatif diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan di Terengganu.
“Sebanyak RM72.5 juta telah diperuntukan bagi menyiapkan pembangunan fasiliti kesihatan yang baharu di negeri terbabit
” RM17 juta diperuntukan kepada Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu untuk membina Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar sebagai tambahan daripada peruntukan asal sebanyak RM15 juta.
“Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit akan disiapkan tahun ini dan bakal memberi manfaat besar kepada warga setempat apabila beroperasi kelak.
“Selain itu, untuk tujuan baik pulih dan naik taraf, sebanyak 53 klinik daif menerima peruntukan bernilai RM 8.9 juta demi keselesaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaliha menjelaskan, kesemua inisiatif berkenaan diharap boleh meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri.
“Ini juga sebahagian daripada reformasi kesihatan yang menjadi tekad saya selaras dengan pembangunan Kertas Putih Kesihatan,” katanya. – nasionalkini.my