in

Jumlah bomba, penduduk tidak seimbang – KPKT

IMG 20230514 WA0008
Kor Ming ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka hari ini

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 14 Mei – Jumlah anggota bomba di seluruh negara masih belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, ketika ini, terdapat lebih 15,000 pegawai dan anggota bomba berbanding 33.57 juta populasi Malaysia.

Ini menjadikan nisbah keanggotaan adalah 1 bagi 2,238 orang rakyat.

“Ditambah dengan jumlah panggilan kecemasan yang diterima melebihi 100,000 panggilan setiap tahun, saya melihat jumlah keanggotaan ini sama sekali tidak seimbang.

“Justeru KPKT akan meneliti secara komprehensif bagi cadangan penyusunan semula organisasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, usaha lain dilakukan untuk menambah keanggotaan bomba termasuklah menaik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong.

“Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM dan ini termasuklah elemen kebajikan seperti kajian semula skim bomba termasuk gaji dan elaun berkaitan.

“Saya yakin JBPM dan Bahagian Sumber Manusia KPKT sedang meneliti kertas cadangan ini sebelum kita angkat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.

Tambahnya, sebagai sebuah organisasi penyelamatan dan kecemasan utama negara, JBPM sentiasa bersedia dalam menangani sebarang situasi
kecemasan baik kebakaran, kemalangan, khidmat khas mahupun sebarang bentuk bencana.

“Dalam kita mendepani isu dan cabaran masa kini, kejayaan sesebuah organisasi tidak akan dapat dicapai dengan mudah sekiranya nilai bersama atau shared values tidak dihayati oleh warganya.

“Marilah kita mengembeling tenaga dan usaha ke arah meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dengan nilai murni yang perlu disuburkan seiring dengan konsep Malaysia Madani agar aspirasi nasional dapat dijayakan,” katanya. – nasionalkini.my

20230514 120019

Aufahanie masih cari identiti

WhatsApp Image 2023 05 14 at 13.16.43

Konvensyen Kerajaan Perpaduan: Dulu seteru kini sebumbung