KUALA LUMPUR, 31 Mei – Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) kini bermula dengan Selangor menjadi negeri perintis pertama melaksanakan program itu.
JER menawarkan dan memfokuskan penjualan bagi tujuh jenis barang keperluan asas seperti ayam, beras, telur ayam, minyak masak, ikan, gula dan daging sejuk beku.
Ia menawarkan harga runcit 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran dengan tempoh jualan berlangsung selama tiga jam sahaja dengan konsep premis terbuka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, JER di Selangor akan dilaksanakan di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lokasi dan keperluan logistik diuruskan pihak DUN.
“Program JER Selangor ini merupakan kerjasama strategik pertama yang digerakkan antara KPDN Selangor bersama Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Kerjasama strategik itu adalah idea penggabungan dan penyelarasan dua program di bawah inisiatif kos sara hidup iaitu Program Jualan Rahmah dan Jualan Ehsan Rakyat di Selangor dengan penjenamaan semula sebagai Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER),” ujarnya selepas merasmikan program itu hari ini.
Menurut Salahuddin, penjenamaan semula sebagai JER dilakukan kerana Program Jualan Rahmah dan Jualan Ehsan Rakyat didapati mempunyai objektif, modus pelaksanaan dan golongan sasaran hampir serupa.
“Satu persetujuan bersama di antara KPDN Selangor dengan Kerajaan Negeri untuk mengambil satu langkah ke hadapan yang realistik .
“Inisiatif JER ini dilihat dapat mengurangkan kos pelaksanaan, meningkatkan impak dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan di negeri Selangor,” ujarnya. – nasionalkini.my