in

Bekas pramugari perlu RM150,000 untuk pemindahan buah pinggang

IMG 20230531 104126 6 x 4 inch
Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau (kanan) sedia membantu Nahzatusshima (tengah) dan suaminya, Jessri mengumpul dana bagi pemindahan buah pinggang

Oleh Muhamad Irwan Lee

PULAU PINANG, 31 Mei – Seorang bekas pramugari, Nahzatusshima Kamarudin, 48, tidak pernah menyangka dia akan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada usia muda.

Wanita dari Subang Jaya, Selangor itu disahkan mempunyai masalah tersebut pada usia 37 tahun.

Nahzatusshima yang merupakan ibu kepada dua anak lelaki berusia 23 dan 28 tahun berkata, segalanya bermula apabila dia pengsan selain muntah dan kakinya bengkak sebelum dimaklumkan doktor mengenai kegagalan kedua belah buah pinggangnya.

“Saya tidak menyangka akan menghidap penyakit ini kerana tidak mempunyai sejarah keluarga dan ketika itu menerima khabar ini, saya menangis tidak henti.

”Namun, saya kuatkan semangat selepas doktor mengingatkan bahawa saya masih mempunyai dua anak lelaki yang ketika itu berada di sekolah rendah dan menengah,” katanya di sini baru-baru ini.

Ujar Nahzatusshima, dia telah menjalani rawatan dialisis di Shah Alam, Selangor sejak kira-kira 12 tahun lalu.

”Saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai pramugari di sebuah syarikat pernerbangan dan kini menjadi pekerja sambilan bagi mendapatkan rawatan yang menelan kos RM3,000 sebulan.

“Buat masa ini, saya menerima bantuan Zakat Selangor kira-kira RM1,300 sebulan selain sebahagian daripada kos ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Tambah wanita itu, bagaikan satu sinar harapan baharu buatnya apabila suaminya, Jessri Hazril, 47, sanggup mendermakan salah satu buah pinggangnya kerana mempunyai jenis darah sama.

“Saya berharap dapat meniti usia tua bersama suami dan anak selepas pemindahan buah pinggang ini.

“Tetapi prosedur itu memerlukan kos sebanyak RM150,000 yang begitu membebankan kerana saya dan suami tiada pekerjaan tetap,” ujarnya lagi.

Sementara itu, mengimbas kembali ketika mendengar perkhabaran penyakit isterinya, Jessri berkata, dia hilang kata-kata, namun tidak mahu wanita itu mengalah.

Tambah Jessri, dia mengetahui boleh memindahkan buah pinggang kira-kira lima tahun lalu dan menyuarakan mengenai hasrat untuk menjadi penderma.

“Mulanya isteri berkeras tidak menerimanya, kerana dia tidak mahu kesihatan saya juga terjejas kerana saya pencari nafkah keluarga selain kerana kos yang tinggi.

“Keadaan ekonomi keluarga ketika ini juga tidak stabil kerana saya kini bersama isteri bekerja sendiri selepas diberhentikan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pasangan itu baru-baru ini tampil ke pejabat One Hope Charity and Welfare untuk memohon bantuan bagi mengutip dana daripada orang ramai.

”Setelah mempertimbangkan situasi mereka, kami telah meluluskan bagi mengutip derma sebanyak RM150,000 supaya pemindahan buah pinggang dapat dilakukan segera.

”Orang ramai yang berhasrat membantu, salurkan derma anda ke akaun Public Bank Berhad (One Hope Charity & Welfare) bernombor- 3201428817,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.onehopecharity.org. dan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi talian hotline di talian 04-539 9212, 016-4192 192, 018-911 4192. – nasionalkini.my

IMG 20230531 102930 6 x 4 inch

Sekutu Jho Low meninggal dunia

20230531 115306

JER bermula, Selangor negeri pertama