KUANTAN, 29 Disember – Penganjuran program Jualan Rahmah bukan penyelesaian kepada masalah peningkatan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
Walaupun usaha itu dilihat dapat meringankan bebanan rakyat, namun ia hanya diadakan secara bermusim dan tidak meliputi semua kawasan, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ketua BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, selepas setahun Kerajaan Perpaduan diberi peluang mengemudi Malaysia, sepatutnya satu penyelesaian lebih ampuh diperkenalkan.
“Pada pandangan saya, Jualan Rahmah barang keperluan terpilih bukan cara bijak bagi kerajaan mengurangkan beban rakyat marhaen.
“Daripada melaksanakan penyelesaian jangka pendek seperti jualan murah Rahmah sekali sekala, kerajaan harus memberi tumpuan kepada melaksanakan langkah jangka panjang untuk menangani punca inflasi.
“Ini boleh dilakukan melalui pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih baik, mengawal selia harga dan memastikan persaingan yang adil dalam pasaran,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, kerajaan seharusnya membantu menstabilkan harga secara menyeluruh yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka panjang.
Selain itu, langkah berkenaan juga dapat mengelakkan kesan negatif inflasi teruk kepada rakyat marhaen.
“Saya lihat penganjuran Jualan Rahmah adalah satu penyelesaian sementara dan ia boleh ditambah baik.
“Tapi lebih bagus jika Kerajaan Perpaduan dapat tampil dengan ‘formula’ tertentu untuk mengawal kenaikan harga barangan dan inflasi.
“Itu adalah perkara paling utama yang perlu mereka ambil maklum dan cari penyelesaian lebih rasional,” katanya.— nasionalkini.my