KUALA LUMPUR, 31 Mei – Indeks penanda aras utama, FBM KLCI diunjur berlegar pada paras 1,390 hingga 1,400 mata hari ini, antaranya dipengaruhi sentimen di peringkat domestik dan prestasi bercampur-campur di Wall Street.
Dalam dagangan pagi ini, pasaran tempatan dibuka di bawah paras 1,400 mata, menurun 1.25 mata kepada 1,395.66 daripada 1,396.91 pada penutupan semalam.
Setakat 11.31 pagi, indeks utama itu susut 3.71 mata atau 0.27 peratus kepada 1,393.2 mata dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 403 berbanding 254 manakala 352 kaunter tidak berubah.
Menurut Rakuten Trade, ia merupakan satu lagi sesi bercampur-campur di Wall Street ketika pelabur menunggu Kongres untuk mengundi mengenai kenaikan siling hutang Amerika Syarikat (AS) yang mana persetujuan telah dicapai antara Republikan dan Demokrat.
Di peringkat domestik, katanya, sentimen kekal tegang di tengah-tengah iklim politik semasa menjelang pilihan raya negeri yang menyaksikan pasaran tempatan jatuh di bawah paras 1,400 mata.
“Penjualan paling ketara pada saham wajaran tinggi iaitu perbankan dan perladangan terpilih pada lewat sesi.
“Kami menganggap aktiviti memburu tawar-menawar akan muncul jika indeks mencecah paras 1,390 mata. Oleh itu, kami menasihati pelabur supaya mengumpul saham berkaitan perbankan,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, Wall Street ditutup bercampur-campur semalaman dengan Dow Jones susut 0.2 peratus selepas data keyakinan pengguna pada Mei 2023 merosot ke paras terendah enam bulan, manakala S&P 500 ditutup mendatar. – nasionalkini.my