KLANG, 20 Ogos – Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terbabit dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu akan diserahkan kepada waris, pagi ini.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dituntut isterinya di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan dijangka dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah jam 10 pagi.
Menurut kenyataan rasmi pejabat Datuk Seri Johari, solat jenazah akan dilakukan di masjid berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
Jenazah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang itu kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, untuk dikebumikan.
Majlis pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Zuhur.
Johari, 53, yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai antara 10 mangsa tragedi pesawat malang itu.
Pada pilihan raya umum ke-15 lalu, Johari memenangi kerusi dewan undangan negeri Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).- nasionalkini.my