Yusuf Shafie
MELAKA, 7 Jun – Sebuah kilang elektronik didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas syarikat, Syntronixs Asia Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Pengarahnya, Yong Kuan Ho, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawaian B seperti mana ditetapkan ke dalam perairan pedalaman yang mana kandungan Biological Oxygen Demand (BOD) berkepekatan tinggi.
BOD dilepaskan adalah 77 mg/l, melebihi had dibenarkan iaitu 50 ml/g seperti ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindusrian), 2009 Akta 127.
Sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu dilakukan di No 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, Mukim Bachang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.10 pagi hingga 1 petang 18 Ogos 2022.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka Elbyta Rozana Mohd Hatta memohon hukuman setimpal kerana ini adalah kesalahan ke empat syarikat itu supaya menjadi sebagai pengajaran kepada syarikat dan pemain industri lain.
Syarikat berkenaan sebelum ini pernah didenda keseluruhan RM85,000 atas kesalahan di bawah peraturan sama sebelum ini pada 2010, 2018 dan 2020.
Hujahnya lagi, kandungan BOD yang tinggi di dalam air boleh mengakibatkan oksigen berkurang menjadikan hidupan akuatik tertekan, lemas dan mati selain kemerosotan kualiti air Sungai Melaka juga akan meningkatkan kos kepada kerajaan untuk proses rawatan air.
Terdahulu, Yong Kuan yang diwakili peguam Christal Wong memohon mahkamah mengurangkan denda kerana OKS mengaku bersalah yang menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri mengenakan hukuman denda RM30,000 dan OKS membayar jumlah itu. – nasionalkini.my


