BUTTERWORTH, 2 Julai – Mufti Pulau Pinang menegaskan insiden laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth tidak sewajarnya berlaku sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, keputusan yang dibuat sejak 2010 lagi telah melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.
“Saya difahamkan pihak masjid Sungai Puyu telah terlupa menutup pembesar luar sewaktu mendirikan solat Subuh dan ketika kuliah disampaikan selepas itu.
“Diharap kekecohan ini tidak dipanjangkan dan disensasi sebaliknya kerana diselesaikan dengan baik secara saling bertolak ansur antara semua pihak terbabit,” katanya.
Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Salim menyuarakan bimbang sekiranya ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu tersebut untuk meraih kepentingan politik murahan.
“Suka saya menasihati semua pihak di negeri ini sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam supaya tidak mudah terperangkap di dalam sentimen perkauman dan agama sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. -nasionalkini.my