in ,

Isu dana judi: SPRM berhak buka fail sekiranya perlu – Azalina

WhatsApp Image 2023 05 26 at 9.41.21 PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

Iskandar Zulkarnain

KUALA LUMPUR 26 Mei – Kenyataan di Dewan Rakyat berhubung dakwaan penerimaan dana syarikat perjudian oleh Perikatan Nasional (PN) tidak menyatakan sama ada kes telah dihenti atau digugurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menyatakan tiada fail dibuka memandangkan maklumat diperoleh bersifat umum.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, SPRM berhak menyiasat dan membuka fail sekiranya perlu berlandaskan mana-mana undang-undang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat serta bukti diperolehi dari semasa ke semasa.

“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk PDRM dan LHDN untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” katanya, hari ini.

Semalam, Azalina berkata, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan dan mendapati maklumat tersebut terlalu umum serta tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

Susulan daripada itu, PAS menggesa permohonan maaf secara terbuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut.

Mengulas lanjut, Azalina mengingatkan semua pihak untuk menghormati sistem perundangan negara dengan tidak sewenang-wenangnya melemparkan kenyataan tidak berasas.

“Tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah saya berikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung dengan hal ini mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap YAB Perdana Menteri.

“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip ‘rule of law’, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” katanya lagi. -nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 26 at 9.21.13 PM

Polis Evo atasi Fast X, kutip RM3.4 juta pada hari pembukaan

mayat 1

Kehilangan anggota TLDM terjawab, ditemui maut dalam parit