Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Seperti yang dijangka! Filem Polis Evo 3 mendapat sambutan hangat pada hari pembukaan tayangan rasminya semalam dengan kutipan keseluruhan RM3.4 juta, termasuk tayangan awal.
Polis Evo 3 berjaya mengetepikan filem antarabangsa, FAST X dengan kutipan melebihi dua kali ganda pada Khamis 25 Mei, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam.
Bahkan, Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures, turut tular di media sosial pada hari tayangan rasminya semalam dan rata-rata penonton berkongsi reaksi positif.
Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sokongan penonton.
“Syukur alhamdulillah, sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 amat luar biasa. Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan.
“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan Polis Evo 3.
“Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan filem antarabangsa ini juga selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” kata Raja Jastina.
Terdahulu, Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23 juta.
Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi baharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.
Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.
Sempena tayangan filem ini, siri jelajah Polis Evo 3 diadakan yang bermula hari ini, 26, 27 dan 28 Mei di Terengganu dan Pahang.
Pada 2 Jun di Seremban; 3, 4, 5 Jun di Kedah, Penang, Perak; dan 8, 9, 10, 11 di Singapura, Johor dan Melaka.
Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw. Ikuti perkembangan terbaharu serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw. -nasionalkini.my