in

Abidin calon PN di Sungai Bakap

Gambar ihsan TV PAS

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

Abidin sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas bekas ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Pencalonan itu diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramah di Seberang Perai, Pulau Pinang malam ini.

Berucap ketika acara pengumuman itu, Abidin berkata dia akan meneruskan legasi Nor Zamri jika menang dalam PRK tersebut.

“Saya terlalu rapat dengan dia, jadi banyak kenangan pahit manis dengan dia,” katanya yang juga pengarah pilihan raya PAS Sungai Bakap, seperti dilapor Malaysiakini.

Antara pemimpin PN yang hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor.

Terdahulu, PH mengumumkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara Joohari Ariffin daripada PKR sebagai calon gabungan itu.

PRK Sungai Bakap akan berlangsung pada 6 Julai depan selepas kematian wakil rakyatnya daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Dalam pilihan raya negeri lalu Nor Zamri menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 22 Jun ini sebagai hari penamaan calon. – nasionalkini.my

Ziarah Kasih penduduk Jengka 3

Janji pilihan raya yang dikhianati