Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH – Tiga lelaki berdepan depan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung dipercayai cuba mengelak seekor anjing yang melintas di Jalan Lendu, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu mengakibatkan kesemua mangsa masing-masing berusia 21, 23 dan 25 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian kereta Proton Iriz dipandu lelaki berusia 25 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menuju ke Alor Gajah.
“Bagaimanapun sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu dipercayai hilang kawalan ketika cuba mengelak anjing yang melintas menyebabkan kereta terbabas ke bahu jalan.
“Kenderaan itu kemudian terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter, namun bernasib baik apabila kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu dan penumpang dirawat di Zon Hijau manakala seorang lagi penumpang berusia 21 tahun menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Alor Gajah kerana cedera di bahagian pinggang.
“Ketika kejadian tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi atau perakam dashcam dan polis meminta saksi bebas untuk tampil memberi keterangan bagi membantju siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – nasionalkini.my