KUANTAN, 22 Mei – Kerajaan sepatutnya memperkenalkan Tabung Jihad bagi mengumpul dana untuk mempertahankan aset strategik negara.
Dengan wujudnya tabung seumpama itu, sebarang aset negara yang bernilai tinggi tidak akan ‘terlepas’ atau dimiliki kuasa asing.
Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia (MINM), Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan, banyak saham dalam syarikat atau entiti bernilai tinggi milik Malaysia dilihat semakin mudah ‘dibeli’ pelabur dari luar negara.
“Kita bimbang dengan keupayaan kewangan dimiliki mereka (pelabur asing), lambat laun makin banyak aset dibeli kumpulan kapitalis ini.
“Kebanyakan golongan pemodal dari luar negara memiliki rangkaian dan kaitan dengan Zionis.
“Sudah tentu secara tidak langsung, elemen Zionis menguasai pelaburan dibuat dalam syarikat strategik di Malaysia melalui pemilikan saham dan bermacam lagi cara,” katanya.
Sebelum ini negara digemparkan dengan isu kononnya syarikat yang cenderung menyokong regim Zionis sedang berusaha membeli saham milik Malaysia Airport Holding Berhad.
Selain itu, dua syarikat gergasi dunia pertahanan menyertai pameran berkaitan aset ketenteraan yang berlangsung di ibu negara, awal bulan ini.
Dr Abdul Rasid berharap kerajaan dapat membuka mata dalam hal berkaitan pemilikan saham oleh konglomerat dunia yang boleh mencabar kedaulatan negara.
“Kalau semua bersatu hati… usahawan, hartawan atau ahli perniagaan yang berjaya dapat duduk semeja bersama kerajaan… mereka boleh fikirkan cara untuk mewujudkan tabung jihad ini.
“Tujuan utama adalah untuk mengumpul dana dan membeli saham dalam syarikat tempatan yang menarik minat pelabur luar.
“Secara simboliknya, kita dapat halangan daripada saham itu dijual dan dimiliki negara asing,” ujarnya. – nasionalkini.my