KUALA LUMPUR 22 Mei – Sebuah syarikat pengurusan bangunan kediaman di Petaling Jaya, Selangor dikompaun RM2,000 kerana gagal mengemukakan resit sebagai bukti pembayaran berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata tindakan itu dibuat selepas satu laporan dibuat penduduk di bangunan kediaman tersebut berikutan kegagalan pihak pengurusan syarikat terbabit tidak mengemukakan resit pembayaran ke atas cas penyelenggaraan bangunan.
“Hasil siasatan mendapati pihak pengurusan bangunan berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 140(2) Akta Pelindungan Pengguna 1999 kerana gagal memberikan resit kepada pengguna bagi perkhidmatan penyelenggaraan bangunan dan telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 146 Akta yang sama,” ujarnya.
Azman turut memberi amaran dan menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak.
“Sekiranya mereka didapati gagal mengemukakan resit kepada pengguna ke atas apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna itu termasuklah dengan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya. – nasionalkini.my