KLANG, 5 Jun – Polis menahan tiga remaja lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian memukul seorang lelaki gelandangan dengan pemukul besbol besi seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semua remaja warga tempatan berusia 16 tahun itu ditahan sekitar jam 3 pagi, hari ini di sekitar daerah ini.
“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat tiga kejadian membabitkan tiga mangsa yang berbeza dan kita sedang mempergiatkan usaha bagi mengesan mangsa-mangsa lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai dua rekod lampau jenayah manakala dua lagi tiada rekod.
Katanya, polis turut merampas kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek serta telefon bimbit.
“Polis juga masih mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Hoong Fong berkata, semua suspek direman tiga hari sehingga Rabu ini dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut. – nasionalkini.my