Oleh Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penganjur acara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menipu berhubung penganjuran festival Hooray X Fest Raya, dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Alif didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada jam 2.34 pagi 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Alif yang memakai baju kemeja ditemani peguamnya tiba di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9.25 pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif Hakim memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM1,050.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTC dibatalkan pada saat akhir akibat penaja utama menarik diri. – nasionalkini.my