KUANTAN, 9 Jun – “Saya tidak ada apa-apa rahsia (belajar), cuma tiap hari saya minta restu ibu sebelum pergi sekolah,”
Demikian perkongsian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goh, Zulfahmi Zailani yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Dia juga mengakui tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang memandangkan hanya belajar di sekolah dan mengulangkaji sendiri sahaja di rumah.
“Tidak ada kelas tuisyen macam orang lain, saya hanya belajar di sekolah dan di rumah, cuma kelas tambahan itu adalah yang pihak sekolah buat.
“Alhamdulillah, mungkin sebab saya banyak memberi tumpuan ketika kelas harian dan tambahan, jadi memudahkan saya untuk memahami setiap mata pelajaran yang diajar,” katanya lagi.
Sementara itu, ibu Zulfahmi, Norliza Majid, 49 tahun ketika dihubungi berkata, kejayaan anaknya itu adalah hasil kerja keras dan kesungguhan guru di SMK Bukit Goh.
“Walaupun kami berada di FELDA, tidak bermakna kualiti persekolahan di sini tidak setanding dengan sekolah lain di bandar.
“Saya memang berterima kasih kepada semua guru dan bersyukur dengan keputusan peperiksaan anak saya,” katanya.
SMK Bukit Goh terletak kira-kira 22 kilometer dari bandar raya Kuantan.
Sejak bapa Zulfahmi, Zailani Zakaria meninggal dunia pada tahun 2017, Norliza membesarkan empat anaknya itu sendirian.
“Arwah suami meninggal dunia akibat strok dan saya memang dari dulu suri rumah sepenuh masa.
“Mujur juga dapat pencen ilat arwah suami, jadi dari situlah saya gunakan untuk perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.
Zulfahmi adalah anak ketiga daripada empat beradik.
Kakak dan abangnya berusia 25 dan 22 tahun, mereka sudah bekerja di bandar raya Kuantan.
Manakala adik bongsu pula berusia 14 tahun dan bersekolah di SMK Bukit Goh.
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Zulfahmi memberitahu dia belum membuat keputusan muktamad samaada meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini atau di luar Pahang.
“Saya fikir nak ambil kursus kejuruteraan, tapi lepas keputusan dah keluar, saya kena tengok balik apa lagi kursus sesuai dengan keputusan yang saya dapat,” katanya.
Dia juga memaklumkan sudah mengisi borang unit pusat universiti (UPU) sebelum ini dan akan mengemaskini permohonan tidak lama lagi. – nasionalkini.my