MELAKA, 13 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan Biasiswa Kesidang dan Biasiswa Sulung 2.0 kepada para pelajar yang menyambung pengajian di sini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini adalah berita baik yang dinantikan para pelajar yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Jelasnya, buat pertama kali UTeM menawarkan Biasiswa Kesidang dan ianya terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD sepenuh masa di universiti berkenaan.
Biasiswa ini memberikan kemudahan pembiayaan pengajian kepada pelajar pascasiswazah yang mengikuti program Mod Penyelidikan (PhD dan Sarjana secara Penyelidikan) dan Program Mod Kerja Kursus (Sarjana secara Kerja Kursus).
Antara kriterianya pemohon mestilah memenuhi syarat ditetapkan seperti menerima tawaran pengajian atau berdaftar sebagai pelajar pascasiswazah sepenuh masa dan mencapai CGPA 3.50 ke atas di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Antara syarat lain, keutamaan diberikan kepada pemohon dalam kategori pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.00 dan tidak menerima sebarang pembiayaan lain berkaitan pengajian.
“Pada masa yang sama sudah tentulah calon wajib lulus temuduga yang ditetapkan manakala bagi calon antarabangsa pula keutamaan diberikan kepada calon dari negara yang sedang bergolak,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Menyentuh mengenai Biasiswa Sulung 2.0 pula, Massila berkata, UTeM turut sama menawarkan kemudahan pembiayaan ini kepada pemohon dari kalangan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia terbuka kepada semua bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda dan keutamaan adalah diberikan kepada pelajar daripada golongan B40.- nasionalkini.my