SELAYANG, 13 Julai – Kesukaran menjalani hidup sebagai individu cacat penglihatan bukan penghalang bagi Muhammad Amir Faris Mohd Firdaus meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Muhammad Amir Faris, 19, dari St John’s Institution Kuala Lumpur di sini, dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2022 kategori buta selepas meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dengan empat A.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia didiagnos buta sepenuhnya sejak usianya enam tahun selepas mengalami ketumbuhan pada hidung.
Sepanjang sesi pembelajaran, katanya, dia enggan mengalah biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran bergerak serta mengakses maklumat.
“Jadi orang buta ini memang tidak mudah, pertama kesukaran akses maklumat terutama yang bergambar ada sesetengahnya saya terpaksa minta bantuan orang celik seperti rakan dan guru untuk menceritakan semula maklumat bergambar itu kepada saya.
“Setiap hari juga saya dipimpin rakan lain dari asrama untuk bergerak menaiki bas ke sekolah.
“Saya memberanikan diri melangkah ke depan dan mencuba apa saja yang ada di sekeliling atau teroka kehidupan,” katanya ketika ditemui BH selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.
Sementara itu, Nur Atikah Zailan, 21, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias, Beaufort di Sabah yang meraih PNGK 4.00 dengan lima A pula menghadiahkan kejayaan itu kepada bapanya yang juga Pembantu Am di Lembaga Industri Getah Sabah serta arwah ibunya.
Bagaimanapun, katanya, tiada rahsia khusus bagi kejayaannya, namun akan menggunakan cuti hujung minggu bagi mengulang kaji semua mata pelajaran, bermula selepas solat Isyak hingga jam 1 pagi, setiap hari.
“Bapa dan arwah mak menjadi inspirasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh kerana pesanan mereka, kami bukan orang senang, jadi ilmu sajalah harapan mengubah hidup kami.
“Kesusahan hidup kami boleh saya gambarkan apabila kami hanya diberikan belanja RM3 sehari ke sekolah, selain akan bangun seawal jam 4 pagi untuk memasak bekalan saya dan adik untuk dibawa ke sekolah,” katanya.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN