NILAI, 12 Jun – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat menggunakan keuntungan daripada bidaan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UN’ untuk menjana pendapatan bagi membantu pelajar termasuk pemberian biasiswa, mobiliti pelajar, penambahbaikan kualiti penyelidikan dan pembangunan universiti
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Ts. Sharifudin Md. Sharaani berkata, bidaan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UN’ bermula esok hingga 25 Jun ini.
“Nombor plat khas USIM ‘UN’ itu dilancarkan hari ini selepas kelulusan penggunaan nombor pendaftaran khas kenderaan itu telah dikeluarkan dan diberikan kepada USIM pada 20 Mac lalu.
“Sasaran bidaan nombor plat kenderaan UN ini adalah sebanyak RM4 juta dan digunakan khusus bantu mahasiswa terutama pemberian biasiswa,” katanya.
Bidaan plat kenderaan berbeza mengikut nombor bermula daripada RM1,500 hingga RM800,000 bagi plat UN 1 hingga UN 9999.
Dalam pada itu, Sharifudin berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2018 sebelum ini telah bersetuju bahawa penggunaan nama universiti awam melalui nombor pendaftaran khas boleh digunakan sebagai salah satu sumber penjanaan kepada universiti.
Beliau ada masa turut menjelaskan kombinasi kedua-dua huruf UN ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang merupakan awalan perkataan USIM manakala ‘N’ merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi Negeri Sembilan.
Bagi mereka yang berminat melayari laman web www.unplat.com.my bagi melakukan pembidaan nombor pendaftaran UN ini. – nasionalkini.my