in

Agong dijangka rasmi Kompleks Mahkamah Syariah Sabah

Gambar oleh Bernama

KOTA KINABALU, 6 September – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah setiba baginda ke bandar raya ini dalam Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari keempat, hari ini.

Baginda berdua mempunyai program berasingan di bandar raya ini petang nanti, dengan Raja Permaisuri Agong dijadual melawat ke Jabatan Penjara Sabah sebelum ke Festival Kraf Borneo 2023 di pusat beli belah 1Borneo, dekat sini, lapor Bernama.

Pada sebelah malam, baginda berdua akan diraikan dalam Majlis Santapan Kerajaan Negeri Sabah sempena Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Sejak bertolak dari Titik 0.0 Kilometer di Tawau pada Isnin lalu, baginda berdua dan rombongan sudah menyelusuri perjalanan sepanjang kira-kira 550 kilometer hingga ke Kundasang, melalui lapan daerah di pantai timur dan tengah Sabah.

Malam tadi, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah bermalam di Taman Kinabalu, Kundasang yang terkenal sebagai destinasi percutian tanah tinggi dan pintu masuk pendakian gunung tertinggi Asia Tenggara, Gunung Kinabalu.

Pada jam 9 pagi ini, pasangan diraja itu dijadual menghadiri program tertutup di Kampung Montoki, Kundasang sebelum meneruskan Kembara Kenali Borneo di Pekan Nabalu, Kota Belud.

Selesai program di pekan itu, Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu melalui Tamparuli dan Tuaran dengan jarak kira-kira 80 kilometer bagi jelajah kembara di kawasan pantai barat Sabah pula.- nasionalkini.my

Carlton Inn bukan hanya sekadar hotel bajet

Jenama Tyhany kekal bertahan lebih 12 tahun